At Blog to fb


Ibu bapa mesti mewajibkan anak-anak bersarapan pagi sebelum ke sekolah. Sarapan pagi dalam bahasa inggeris ialah "breakfast". Mari kita teliti makna "break" dan "fast". Secara literalnya "break" bermakna "pecah" dan "fast" bermaksud "puasa". Memang tepat sekali perkataan "breakfast" kerana ia apabila seseorang bersarapan pagi (katakan jam 6.30 pagi) ia seperti "memecahkan puasa" sebab kali terakhir mereka makan mungkin jam 8 malam, mungkin 9 malam sebelum anak-anak tidur, bermakna si anak (kita sekalipun) telah 'berpuasa' selama lebih kurang 10 jam.

Sebab itulah dalam Islam, bersahur untuk berpuasa adalah sunnat. Lebih afdal lagi kalau bersahur selewat yang boleh sebelum masuk waktu subuh. Saya juga teringat kata-kata pujangga yang berbunyi: "Makan pagi seperti seorang raja (king); makan tengah hari seperti anak raja (prince) dan makan malam seperti seorang miskin (pauper)". Pepatah Arab pula ada menyebutkan "Makan pagi seorang diri (makan banyak), makan tengah hari bersama kawan (berkongsi makan, jadi makan secara sederhana) dan makan malam dengan satu kampung (kerana terlalu ramai, hanya boleh makan sedikit)". Kedua-dua kata-kata di atas menekankanj peri pentingnya makan pagi dan makan dengan jumlah yang banyak. Malangnya budaya kita sekarang, jam 1 atau 2 pagi, berduyun-duyun orang di kedai nasi kandar makan (sambil menonton bola sepak di skrin besar). Itu amalan tidak sihat sebenarnya !

Sarapan pagi akan sebenarnya memberi tenaga kepada mereka untuk menghadapi pelajaran nanti. Menurut Carson Wade dalam bukunya Natural Energy Booster, "Sarapan yang baik adalah pembekal tenaga". Kata pakar pemakanan itu, "walaupun anda tidak merasa lapar apabila terjaga dari tidur, zat pemakanan yang diperlukan untuk memberi tenaga sudah terhakis dari badan sewaktu anda tidur". Satu kajiann yang dijalankan oleh University Reading di UK mendapati "pelajar berumur 12 tahun yang tidak bersarapan pagi mempunyai kelembapan otak seperti orang tua berumur 17 tahun" Kelembapan otak diukur dari sudut "reaction time" (masa tindak balas) dan "mental agility" (ketangkasan berfikir).

Catherin Kong, seorang pakar pemakanan dalam temubual di "Breakfast on 2" TV2 (Rabu, 11 Januari 2006) menerangkan dalam kajian yang dijalankan oleh UKM dengan kerjasama Nestle, majoriti yang tidak bersarapan pagi adalah pelajar Melayu manakala ramai yang bersarapan pagi adalah pelajar Cina. Apakah ini ada kaitan dengan keadaan yang wujud di mana secara umumnya, pelajar Cina lebih ke hadapan prestasi akademik mereka dari pelajar Melayu. Saya tak tahu. Kita fikir dan renunglah !

Ibu dan ayah, jangan bagi alasan tak ada masa. Itu alasan lapuk yang sering digunakan apabila ibu bapa cuba mencari alasan tertentu dalam soal pendidikan anak. Juga jangan bagi alasan "anak saya tak mahu makan pagi". Ya, memang betul sebab sejak dari kecil lagi mereka tidak dipujuk, tidak di ajak, dan tidak didisiplinkan bersarapan pagi. Fikir dan renung. Terima kasih.



0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Top