Selsema dan batuk dikalangan bayi ( kurang dari 2 tahun) adalah antara sebab ibubapa berkunjung ke klinik dan pusat rawatan. Tapi apa yang membimbangkan saya sebagai pengamal perubatan adalah dewasa ini ibubapa sering mengharapkan agar doktor memberi ubat selsema batuk atau lebih teruk lagi antibiotik kepada anak-anak mereka. Tapi saya tidak salahkan mereka kerana kuatir akan berlarutan dan menjakiti paru-paru.
Memang tidak dapat dinafikan, Salah satu perkara yang paling sukar dilalui oleh ibu bapa ialah apabila bayi mereka mendapat selsema. Bayi akan meragam, tidak lena tidur, kesukaran menyusu bernafas.
Pakar-pakar menganggarkan bahawa bayi anda akan menghidapi selesema sebanyak lapan hingga 10 kali dalam masa dua tahun pertamanya. Dan tahukah anda bahawa batuk selsema ini adalah sebenarnya mekanisme pertahanan diri yang diberikan oleh Allah yang tanpa kita sedari untuk menghindari dari penyakit yang mana apabila bendasing seperti habuk, hama memasuki rongga hidung dan tekak, badan akan cuba mengeluarkan bendasing itu dengan tindakan reflex batuk dan bersin.
Apa yang boleh saya simpulkan disini adalah Selesema ialah jangkitan bahagian atas saluran pernafasan yang selalunya berpunca dari virus ( hanya sebilangan kecil disebabkan oleh bakteria, jika terjadi mungkin memerlukan perlindungan antibiotik)
Mengapa bayi berumur kurang 2 tahun lebih cenderung mendapat selsema? Ini kerana mereka dilahirkan dengan sistem imuniti yang hanya berfungsi sebanyak 60 peratus.
Selalunya selesema merebak apabila seseorang yang menghidapi selesema itu bersin dan menyebarkan virus selesema ke udara untuk dijangkiti oleh orang lain. Ia juga boleh disebarkan melalui kontak tangan, jadi elok jika anda sentiasa membasuh tangan anda selepas menghembus hidung anda.
Bagaimanakah selesema menjejaskan bayi?
Bayi yang sakit mungkin akan menghidapi demam ,batuk, mata merah, dan hidung berair. Anak anda juga akan meragam dan hilang selera makan. Bagi Bayi-bayi di bawah usia enam bulan tidak boleh bernafas melalui hidung mereka apabila mereka sakit, jadi mereka akan mempunyai masalah untuk bernafas dan makan. Kanak-kanak tidak bersedia lagi untuk menghembus hidung mereka sehingga usia empat tahun, jadi anda perlu membantu mengeluarkan mukus mereka.
Kenapa selalunya doktor ( terutama di klinik kesihatan ) tidak memberi ubat selsema atau batuk kepada bayi berusia kurang dua tahun?? Ini kerana FDA telah mengeluarkan kenyataan secara rasmi bahawa semua ubat-ubatan hanya merawat simptom tetapi tidak merawat penyakit . Ini berikutan terdapat kes kematian bayi di UK akibat ubat-ubat ini secara tidak langsung.
Kanak-kanak yang mengalami selsema dan batuk selalunya juga mengalami kesukaran bernafas. Kadar oksigen yang masuk ke dalam paru-paru mungkin berkurang dan menyebabkan kanak-kanak itu mungkin rasa mengantuk.
Memberikan ubat selsema atau batuk yang mengandungi antihistamine ( dan mempunyai kesan sampingan mengantuk) pada mereka menyebabkan mereka bertambah mengantuk dan mungkin tidur pada waktu yang lama. Apabila mengantuk dan tidur, kadar pernafasan kanak-kanak ini akan bertambah kurang. Seterusnya menyebabkan kandungan oksigen dalam paru-paru bertambah kurang.
Jika kandungan kepekatan oksigen dalam darah terlalu kurang, ianya akan menyebabkan jantung berhenti dan kanak-kanak itu boleh meninggal dunia. Ini boleh berlaku pada kanak-kanak yang berumur dua tahun ke bawah.
Jadi apa yang boleh kita lakukan?
- Tidak banyak yang boleh anda lakukan kecuali menunggu dan memberikan anak anda banyak rehat
- Madu dan cecair seperti jus buah-buahan yang kaya dengan vitamin C) juga boleh membantu.
- Jika badannya panas, anda boleh berikan dia cecair parasetamol di bawah pengawasan doktor.
- Laplah hidungnya supaya dia boleh bernafas dengan lebih mudah. Anda boleh menyapu jeli petroleum di luar lubang hidung bayi anda untuk mengurangkan kerengsaan.
- Jika bayi anda sukar menyusu dengan hidung tersumbat, minta doktor anda mempreskripsikan larutan bergaram untuk diletakkan di setiap lubang hidung setiap 15 minit sebelum penyusuan.
- Sesetengah ibu bapa menggunakan bebuli penyedut untuk membersihkan dan mengeluarkan air bergaram dan mukus dari hidung bayi.
- Jika bayi anda menghidapi hidung tersumbat tanpa sebarang simptom lain, periksakan lubang hidungnya kalau-kalau terdapat sebarang objek asing. Kadang-kadang kita tak tahu: bayi pun boleh meletakkan objek ke dalam hidung.
Berapa lamakah selesema akan berlarutan?
Simptom-simptom selalunya akan reda selepas tiga hingga 10 hari, walaupun pada bayi yang terlalu muda, ia mungkin akan berlarutan sehingga dua minggu.
Bila perlu mendapat rawatan selanjutnya/menghubungi doktor?
- Lakukannya apabila selesema yang diiringi dengan demam yang berlarutan lebih dari lima hari.
- Dia mengalami sakit telinga, masalah bernafas, bunyi berdehit, batuk berlarutan.
- Dia mengeluarkan mukus hijau yang pekat dan berlarutan dari hidungnya.
Sharing is caring
Ikhlas Dr Nor
0 ulasan:
Catat Ulasan