Penyusuan susu ibu memang mudah jika ibu membuat persediaan awal dan mempunyai ilmu yang tepat tentang penyusuan susu ibu. Ramai yang tahu tentang khasiat, kelebihan dan teknik menyusu, tapi mungkin tak ramai yang tahu tentang teknik penyimpanan susu dan pengendalian susu perahan dengan betul. Ini kerana susu ibu sangat sensitif dan memerlukan teknik yang betul bagi memastikan kandungan nutrisi sentiasa terpelihara dan tidak rosak.
Para ibu kini telah ramai yang keluar bekerja, namun tidak dapat dinafikan naluri ibu telah mendorong mereka merasa bertanggungjawab untuk terus menyusukan bayi. Jadi langkah yang terbaik adalah menyediakan susu perahan untuk diberikan sepanjang tempoh waktu bekerja.
Ketahanan susu ibu bergantung kepada cara bagaimana ia disimpan:
- Suhu bilik, atas 25°C: 4-6 jam
- Bekas penyejuk (Cooler, icepack): 12-24 jam
Peti sejuk 1 pintu:
- bahagian fridge 4°C: 7 hari
- bahagian freezer -15°C: 2 minggu
Peti sejuk 2 pintu
- bahagian fridge, 4°C: 5 hari
- bahagian freezer, -18°C hingga -20°C: 3-6 bulan
Deep freezer -20°C: 6 bulan
Ok, yang ni mungkin banyak ibu yang konfius dan silap iaitu cara menyediakan susu perahan yang telah dibekukan. Jika tersilap langkah mungkin kita memberi susu yang telah rosak kepada bayi dan menyebabkan sakit perut, muntah, cirit birit dan kembung perut. Jom sama- sama fahami:
Cara-cara Menyahsejukbeku Susu:
- Nyahbekukan susu beku dengan meletakkannya di bahagian fridge ( peti ais bawah) selama 4 jam
- Atau Lalukan bekas susu yang beku tadi di bawah air paip yang sejuk. Setelah ia mula cair, lalukan atau rendam dalam air suam pula untuk terus mencairkannya.
- Jangan cairkan pada suhu bilik. Suamkan susu tadi dengan merendamkannya di dalam mangkuk yang berisi air panas.
- Jangan mencairkan atau memanaskan susu di dalam ketuhar gelombang mikro, oven atau atas dapur gas
- Susu yang telah dipanaskan perlu dihabiskan dalam masa 1 jam.
- Jika susu beku sudah mencair (walaupun sedikit), susu tersebut tidak boleh lagi dibekukan semula. Ia perlu disimpan di bahagian bawah (bhg sejuk biasa) malah perlu dihabiskan (digunakan) dalam tempoh 24 jam dari masa ia mula mencair.
- Susu perahan lebih baik disimpan di Bahagian sejuk biasa berbanding bahagian beku (freezer) jika susu perahan itu adalah stok untuk beberapa hari. Sekiranya pada hari ke-5 susu perahan tersebut belum digunakan maka bolehlah naikkannya ke bahagian beku untuk memanjangan tempoh hayatnya.
- Susu perahan yang dibekukan mungkin akan kehilangan beberapa nutrien dan antibodi akibat proses pembekuan namun komposisinya masih JAUH LEBIH BAIK berbanding susu formula. Oleh itu ibu perlu memberi susu secara direct feeding,susu perahan yang disejukkan dan susu perahan yang dibekukan untuk mengimbangi keperluan nutrien dan antibodi bayi.
0 ulasan:
Catat Ulasan