At Blog to fb


SOALAN : 

Anak saya sering mengalami kegatalan pada kulit. Saya telah membawanya berjumpa dengan doktor dan diberitahu bahawa dia mempunyai kulit yang sensitif. Soalan saya, apakah saya perlu menggunakan sabun khas dan apakah krim yang sesuai saya gunakan?

JAWAPAN : 

Jika kulit anak anda sensitif, jangan gunakan sebarang sabun ataupun sapuan yang mengandungi wangian atau bahan pewarna yang tidak perlu. Terdapat banyak jenis sabun khas untuk kanak-kanak di pasaran. Cuba gunakan sabun yang mempunyai perkataan “Hipoalergenik” atau dalam bahasa Inggeris, “Hypoallergenic” kerana sabun-sabun tersebut mempunyai ramuan yang dibuktikan tidak menyebabkan alahan atau kesan-kesan alergi.

Kulit anak yang kering akan menjadi gatal. Keadaan kulit yang kering ini disebabkan oleh ekzema atau alahan. Kulit kering ini perlu disapu pelembap kulit seperti krim aqueous. Krim ini boleh juga digunakan sebagai sabun jika sabun lain menyebabkan kulit lebih teruk lagi. Apabila kulit anak kelihatan merah, maka mungkin juga doktornya memberi ubat krim steroid untuk mengurangkan radang kulit sehingga pulih. Kegunaan krim steroid ini hanya buat masa yang singkat dan dengan perhatian rapi oleh pakar kulit atau pediatrik.

Kegatalan kulit mungkin juga disebabkan oleh alahan kepada makanan tertentu. Adakah kegatalan tersebut lebih teruk pada waktu-waktu yang tertentu, ataupun selepas memakan sesuatu jenis makanan? Semua faktor ini harus diperhatikan supaya anak anda selesa dan sekiranya terdapat alahan atau masalah yang lain, masalah tersebut tidak dibiarkan berkekalan. Untuk bayi, adalah baik jika mereka diberi susu ibu dari awal lagi untuk mengelakkan daripada alahan kulit.


0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Top