At Blog to fb


Konsep kehidupan kemasyarakatan dalam Islam adalah luas dan indah jika umat Islam menghayatinya. Perpecahan umat akibat perbezaan ideologi politik semakin hari kian ketara. Suasana begini bukan sahaja boleh melemahkan umat Islam, malah ia juga boleh menggugat struktur sosial masyarakat Islam yang amat prihatin terhadap konsep kasih sayang dan tali persaudaraan yang berteraskan kepercayaan kepada Allah Yang Maha Esa.

Pengalaman penulis bertemu bual dengan remaja yang berkeliaran di waktu malam di daerah yang agak terpinggir dari ibu kota tiga tahun lalu memberi keinsafan kepada penulis bahawa golongan remaja sama ada dibesarkan di kawasan-kawasan bandar dan luar bandar menghadapi ketandusan jiwa. Mereka tidak memahami matlamat dan erti kehidupan di dunia ini. Ramai daripada golongan remaja ini lebih gemar menumpukan perhatian kepada perkara-perkara yang menyeronokkan. Dosa dan pahala bukan merupakan nilai dalam kehidupan seharian mereka.

Sikap keterbukaan mereka meluahkan perasaan dan pandangan mengenai kehidupan jelas menunjukkan bahawa remaja dalam golongan ini merasai diri mereka tersisih dan kurang mendapat perhatian dan bimbingan. Berdasarkan suasana di mana ramai golongan remaja terjebak dalam kancah maksiat dan pembunuhan bayi, maka setiap individu Islam perlu merenung dan mempersoalkan tanggungjawab mereka terhadap masyarakat.

Islam menggariskan pelbagai aspek berkaitan dengan konsep kehidupan bermasyarakat dan tanggungjawab individu terhadap individu lain. Islam mendidik umatnya supaya menyemarakkan prinsip kasih sayang sesama umat dan manusia. Orang dewasa perlu dihormati dan orang muda perlu disayangi. Konsep kehidupan begini menyerapi hati nurani umat Islam sehingga mereka merasai bahawa setiap remaja dan kanak-kanak di sekeliling mereka adalah anak mereka. Oleh itu, mereka tidak khuatir untuk menegur dan menasihati serta mencegah remaja daripada melakukan sesuatu yang boleh merosakkan diri mereka.

Semangat kasih sayang dan prihatin terhadap masyarakat terutama remaja dan kanak-kanak merupakan asas kepada pembentukan masa depan umat Islam. Dalam suasana begini, sepatutnya orang dewasa perlu menumpukan perhatian kepada golongan remaja dengan menggunakan sedikit masa lapang untuk berbual dan beramah mesra dengan remaja yang berada di kawasan mereka.

Remaja diibaratkan seperti kain putih yang mana minda dan hati nurani mereka mudah dibentuk ke arah yang lurus dan baik jika orang dewasa, ulama, guru dan ibu bapa sering menghampiri mereka. Minda dan daya pemikiran mereka yang kurang matang memudahkan mereka tergelincir dalam kancah maksiat dan dosa. Maka ketika ini, orang-orang dewasa perlu memainkan peranan untuk membimbing dan mengasuh remaja supaya mereka mampu menggunakan akal ketika menghadapi saat genting dan sebagainya.

Dalam konteks kehidupan remaja Islam masa kini, cabaran terhadap kerohanian dan keimanan adalah terlalu mencabar. Pemikiran yang cetek dan kurang matang menyebabkan mereka gagal mengawal noda dan dosa.

Oleh itu, perjuangan utama umat Islam masa kini adalah menghampiri remaja dan menjelaskan kepada mereka erti kehidupan dan matlamat kehidupan mereka di dunia. Melalui kesedaran dan penjelasan berkaitan dengan kerohanian sahaja, maka umat Islam dapat memelihara remaja supaya tidak terumbang-ambing dalam arus globalisasi.

Mengambil berat terhadap remaja dan masyarakat merupakan Fardu Ain kepada umat Islam yang memiliki ilmu wahyu dan fardu kifayah kepada keseluruhan umat Islam. Setiap umat Islam akan dipersoalkan oleh Allah berhubung kait dengan tanggungjawab mereka terhadap remaja dan masyarakat.

Perkara berkaitan dengan permasalahan remaja dan masyarakat hanya dapat diatasi melalui kerjasama di antara semua umat Islam. Apabila wujud pelbagai permasalahan di kalangan remaja, umat Islam tidak sepatutnya menuding jari kepada pihak-pihak tertentu. Sikap kerjasama dan prihatin masyarakat terhadap remaja adalah senjata utama untuk memelihara remaja daripada terjerumus ke kancah kehancuran.

Remaja merupakan pemangkin kepada masa depan negara dan agama. Oleh itu, Rasulullah SAW meminta umat Islam supaya sentiasa mendampingi remaja dan membimbing mereka menjadi orang yang berwawasan dan mempunyai semangat waja. Baginda meletakkan harapan yang tinggi kepada remaja dengan sabdanya yang bermaksud: "Sebaik-baik remaja ialah orang yang mengisi masa mudanya dengan melakukan kebajikan dan kebaikan".

Berdasarkan konteks masa kini, maka umat Islam yang mempunyai ilmu wahyu sepatutnya mempergiatkan kegiatan dakwah kerana keadaan dan gelombang globalisasi dan gejala-gejala negatif begitu aktif menular masuk ke negara ini. Suasana begini tidak mungkin dapat ditangkis oleh remaja Islam. Oleh itu, fahamilah jiwa dan dilema remaja dan kasihanilah mereka dengan menggerakkan semangat berdakwah di kalangan remaja.

Elakkan persengketaan sesama umat supaya struktur sosial masyarakat dapat dibentuk dan remaja Islam hidup dalam arus perpaduan dan kasih sayang. Permusuhan sesama umat tidak akan memberi sebarang faedah kepada umat Islam. Ideologi politik perlu ada batas supaya kepentingan agama dan bangsa tidak terjejas. Oleh itu, semarakkan semangat persaudaraan tanpa mengira perbezaan ideologi politik.

Oleh DR. SAODAH ABD. RAHMAN

Penulis ialah Pensyarah di Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.


** Sumber - RIDDUYI


0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Top